Wednesday, July 4, 2007

ORGANISASI KURIKULUM

Kurikulum Ekonomi Asas digubal dalam bentuk yang mudah difahami oleh murid sesuai dengan umur dan kemampuan intelek mereka. Justeru,tumpuan adalah diberi kepada pengetahuan dan pemahaman konsep serta prinsip asas ekonomi yang ada aplikasi secara langsung dalam kehidupan seharian. Dalam mengkaji masalah ekonomi, analisis yang paling asas diberi penekanan.

Kandungan kurikulum ini dimulakan dengan pendedahan kepada murid tentang masalah ekonomi dan hubungannya dengan aktiviti-aktiviti individu, khususnya dalam aspek-aspek pendapatan, perbelanjaan, tabungan, pinjaman dan pelaburan. Aktiviti individu ini dapat memberi pemahaman dan panduan kepada murid untuk memainkan peranannya sebagai pengguna dan pengeluar yang bijak serta bertanggungjawab.

Konsep pengguna dan pengeluar adalah barkait rapat dengan konsep isi rumah dan firma yang menjadi tumpuan kedua dalam susunan kandungan sukatan pelajaran ini. Murid diperkenalkan kepada konsep permintaan dan penawaran serta interaksi dan hubungan antara kedua-duanya dalam pasaran. Tumpuan juga diberikan kepada peranan wang dan institusi kewangan kerana segala kegiatan ekonomi pada masa kini menggunakan wang dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan dengannya.

Seterusnya murid didedahkan kepada struktur ekonomi dan belanjawan negara Malaysia serta perdagangan antarabangsa. Dengan demikian murid memahami dan menghargai pertumbuhan serta kemajuan ekonomi negara Malaysia.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, nilai-nilai murni disepadukan secara langsung dan tidak langsung. Pendekatan yang diguna seharusnya dapat menggalakkan murid menguasai pelbagai kemahiran pembelajaran dan kemahiran generik yang berteraskan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran, khususnya yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi sesuai dengan pendidikan alaf baru. Kebijaksanaan dan kreativiti guru amat perlu untuk menggalakkan murid menggunakan potensi kecerdasan pelbagai mereka secara optimum.

Pelaksanaan kurikulum Ekonomi Asas mampu melahirkan insan yang berilmu dan dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan untuk diri sendiri, masyarakat dan negara serta dapat membina warganegara yang seimbang yang dapat hidup secara aman dan harmonis.

No comments: